KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang ditahan selepas didakwa membakar kereta isterinya telah diperintahkan untuk direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Ridhwan Syarizal selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).
Tempoh reman yang berakhir Selasa depan bertujuan membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek berusia 25 tahun itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang merupakan seorang warga tempatan berjaya diberkas polis tengah malam tadi selepas hampir tiga hari diburu berikutan insiden membakar sebuah kereta Toyota Vios, yang rakaman videonya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata lelaki tersebut ditahan di Bukit Pasir, Batu Pahat, pada pukul 12.20 tengah malam. Polis turut merampas kenderaan jenis Toyota Vellfire yang digunakan suspek semasa kejadian.
Menurut Raub, pihaknya sebelum ini telah melancarkan usaha memburu suspek selepas insiden berkenaan yang dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau, berhampiran Hospital Columbia, sekitar pukul 10.20 malam Ahad lalu.
Rakaman video berdurasi 28 saat yang tular menunjukkan sebuah Toyota Vios berwarna putih, milik seorang wanita tempatan berusia 21 tahun, disimbah petrol sebelum dibakar oleh seorang lelaki.
Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merupakan suami mangsa dan bertindak demikian akibat tidak berpuas hati selepas berlaku perselisihan faham dalam rumah tangga mereka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan suspek secara tiba-tiba muncul, menghalang kenderaan yang dinaiki mangsa, sebelum menyimbah petrol dan menyalakan api. Selepas itu, suspek segera melarikan diri dengan menaiki Toyota Vellfire.