GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk mewajibkan kesemua bakal pengantin di Pulau Pinang untuk menjalani ujian saringan COVID-19, dengan sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian pantas antigen COVID-19, iaitu ujian sendiri sebelum akad nikah.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria memaklumkan perkara itu berkuatkuasa mulai hari ini,
Malah wali dan saksi nikah juga wajib menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai usaha membendung penularan wabak itu.
“Bagi kit ujian pantas antigen COVID-19, ia perlu dilakukan 30 minit sebelum majlis akad nikah berlangsung. Akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Agama Daerah dan pasangan pengantin yang didapati negatif sahaja dibenarkan meneruskan akad nikah.
“Bakal pengantin berlainan daerah atau negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daripada pihak polis. Jika gagal (rentas daerah atau negeri), boleh melantik dan mewakilkan seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zakuan, majlis akad nikah di PAD dijalankan dengan prosedur operasi standard(SOP) ketat dan hanya 10 pasangan dibenarkan setiap hari dengan tujuh orang membabitkan pengantin lelaki dan wanita, wali, saksi, ibu atau bapa pengantin lelaki serta jurugambar sahaja pada setiap sesi yang mengambil masa tidak lebih 30 minit.
Begitu juga dengan kursus praperkahwinan secara bersemuka ditangguhkan dan akan digantikan dengan proses temu dan kebenaran berkahwin di Pulau Pinang dengan pendaftaran bagi proses temu duga boleh dilakukan di laman sesawang emunakahat.penang.gov.com.
“Khidmat nasihat rumah tangga atau kekeluargaan secara bersemuka juga ditangguhkan dan hanya dijalankan secara dalam talian, iaitu melalui emel, talian pejabat atau talian khas pada hari bekerja bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang,” katanya.
Beliau berkata, JHEAIPP berhak menolak kehadiran pemohon sekiranya langkah keselamatan ditetapkan atau apa-apa arahan Pegawai Agama Daerah dari semasa ke semasa gagal dipatuhi sepenuhnya.