Bajet Mini Untuk Gaji Penjawat Awam Dibentang Kerajaan Caretaker

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Caretaker, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu kerajaan sementara atau caretaker akan membentangkan mini Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023, bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya menyentuh pembayaran gaji penjawat awam.

Ismail Sabri berkata langkah itu diambil sekiranya masih tiada mana-mana parti membentuk kerajaan.

“Mini Bajet 2023 masih boleh dibentangkan khusus untuk emolumen gaji penjawat awam. Itu mesti dibentang sebelum Disember sebab untuk gaji Januari kena bayar untuk gaji penjawat awam. Jadi, itu mesti dibuat sebelum 31 Disember,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mini Bajet 2023 itu tidak melibatkan proses yang rumit dan tiada sesi perbahasan diperlukan untuk meluluskan bajet berkenaan.

“Penjawat awam tak perlu bimbang kerana sidang khas untuk bajet itu akan dibuat dan ia mudah. Tiada perbahasan pun. Bentang dan lulus,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, rakyat tidak perlu bimbang, memandangkan kerajaan sementara masih boleh berfungsi untuk mengurus tadbir negara.

“Kerajaan kekal sebagai ‘caretaker’. Jadi rakyat jangan keliru seolah-olah sekarang tiada kerajaan. Kerajaan masih kekal tapi sebagai kerajaan sementara.

“Malah Kabinet yang lepas masih berfungsi sebagai Kabinet, kecuali mereka yang tidak bertanding dan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Jadi mereka tiada dalam Dewan Rakyat.

“Tapi setakat ini, kerajaan masih boleh berfungsi seperti biasa. Parlimen kita akan bersidang dan RUU untuk bentangkan bajet akan dibentang. Akan dibentangkan mini bajet,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles