Baik Azmin Dan Amirudin, Bila Nak Mengundi Baru Tunjuk Muka

KUALA LUMPUR: Pengundi di Parlimen Gombak bersedia memberi peluang kepada muka baru untuk menerajui kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini.

Malah mereka menyokong pencalonan Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang disifatkan amat memahami denyut nadi penduduk setempat, malah amat membantu mereka yang memerlukan meskipun tidak punya bergelar wakil rakyat.

Menurut Mejar (B) Anuar Haris, kelibat Megat Zulkarnain bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya semata-mata, bahkan amat mudah untuk dijumpai.

“Megat Zulkarnain adalah calon yang terbaik sebab beliau merupakan anak tempatan di Gombak dan lebih memahami kehendak masyarakat di sini.

“Dari dahulu lagi beliau menyantuni penduduk di sini. Bukan setakat musim pilihan raya sahaja, beliau sentiasa turun ke sini dan bercampur dengan semua orang, dia kenal semua orang,” katanya ketika ditemui.

Berbeza dengan penyandang Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menurut Anuar beliau dan beberapa orang rakan berasa kecewa kerana pemimpin itu dilihat tidak memberi tumpuan sepenuhnya dalam isu membangunkan dan merancakkan kawasannya.

Apatah lagi ketika menjadi Menteri Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa, pembangunan yang diuar-uarkan Mohamed Azmin hanyalah pembangunan bersifat persekutuan, namun mengabaikan apa yang menjadi keperluan di Gombak dan penduduknha.

“Azmin pun memang orang Gombak, walaupun dah lama menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Besar Selangor serta Menteri Utama, namun tiada pembangunan yang kita nampak.

Bila nak dekat mengundi, baru nampak beliau turun ke masjid. Tidak nampak apa yang beliau buat untuk Parlimen Gombak. Jika ikutkan, apabila sudah menjadi Menteri Utama, sepatutnya kita boleh nampak satu bentuk pembangunan untuk Gombak,” katanya.

Menyentuh mengenai calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari, Anuar mendakwa hanya baru-baru ini sahaja Menteri Besar Selangor itu turun padang.

“Saya tahu Amirudin sebagai MB Selangor tapi beliau jarang turun ke sini. Bila nak mengundi, baru nampak kerap turun. Itu pun sebab nak dapatkan undi.

“Tapi untuk acara berjumpa penduduk dan masyarakat, setahu saya tak pernah pun ada program yang nampak besar-besar seperti itu. Kalau ada yang kecil-kecil saya tak tahu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Anuar mahu para pengundi di Gombak bijak membuat penilaian agar memilih wakil rakyat yang benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar memegang gelaran Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain pada semalam mengumumkan 19 resolusi memulihkan Parlimen Gombak yang juga menjadi manifestonya.

Menurut Megat Zulkarnain, beliau mengambil sedikit masa untuk menyediakan manifesto berkenaan memandangkan intipatinya diperoleh terus daripada rakyat.

Berikut 19 resolusi yang disenaraikan Megat Zulkarnain:

1. Berusaha menempatkan anak-anak jati Gombak yang berkelayakan untuk memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebanyak 30 peratus.
2. Berusaha menyediakan dana bantuan untuk anak-anak Gombak yang berkelayakan masuk IPTA/IPTS
3. Berusaha menyelesaikan permasalah banjir di persekitaran Parlimen Gombak yang masih tertangguh sehingga kini.
4. Berusaha untuk membina rumah mampu milik di Parlimen Gombak
5. Berusaha melakukan penyusunan semula Kampung Tradisi dan membaik pulih jalan di seluruh kawasan Parlimen Gombak.
6. Berusaha mewujudkan hab pelbagai sukan dan Pusat Rekreasi untuk generasi muda dan rakyat Gombak.
7. Berusaha memperjuangkan hak milik strata rumah bertingkat untuk semua warga Gombak di seluruh Parlimen Gombak yang telah tertangguh sekian lama.
8. Berusaha menjadikan seluruh masjid sebagai perkhidmatan tersusun kepada umat Islam di Gombak.
9. Berusaha membina penempatan transit kepada anak muda yang baru sahaja memulakan kehidupan perkahwinan.
10. Berusaha membina Pusat Komuniti Kebajikan Warga Emas dan Belia untuk kaum Tionghua dan India di Parlimen Gombak.
11. Mewujudkan pusat bimbingan untuk anak-anak sekolah rendah dan menengah agar dapat mengikuti kemahiran pembelajaran di samping memperkasa ilmu Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris secara percuma.
12. Berusaha memulihkan isu sistem pengaliran sungai Gombak dan sistem perparitan air yang berpanjangan serta bermasalah di kawasan Gombak yang tertangguh sekian lama.
13. Berusaha membina tapak IKS Gombak yang baharu bagi merangsang ekonomi anak muda khusus dalam dunia keusahawanan.
14. Berusaha membina sebuah hospital untuk rakyat Gombak serta persekitaran Parlimen Gombak.
15. Mengenal pasti tapak perniagaan Uptown tersusun untuk keterlibatan anak-anak muda dalam dunia usahawan.
16. Berusaha menyediakan pusat inkubator untuk new start-up usahawan-usahawan muda Gombak.
17. Mengangkat martabat kepimpinan kaum wanita serta penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.
18. Meningkatkan tahap keselamatan penduduk Gombak dengan penyediaan CCTV di kawasan hotspot dan berisiko tinggi.
19. Berusaha mengenal pasti tapak pelupusan sampah di Gombak yang tidak diendahkan.

BBerkaitan

Latest articles