Bahaya Adakan PRU15 Sekarang, Kesan Buruk COVID-19 Sehingga 10 Kali Ganda

Kesukaran rakyat dan keadaan negara akan menjadi semakin teruk jika ramai pihak bertegas mahu pilihan raya diadakan segera, dimana kesan COVID-19 akan meningkat 10 kali ganda lebih buruk berbanding situasi semasa.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mengingatkan bahawa wabak tersebut mudah berjangkit, malah negara juga masih berperang untuk menanganinya selepas gelombang ketiga COVID-19 akibat pilihan raya negeri (PRN) Sabah, September tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib menegaskan sehingga kini belum ada tanda-tanda COVID-19 akan berkurangan atau berakhir, dan memberi petanda jelas bahawa PRU15 tidak sesuai diadakan sekarang.

“Kita mesti mengakui hakikat bahawa Malaysia tidak dapat mengadakan pilihan raya besar-besaran yang memastikan pengundi mengambil bahagian dalam aktiviti kempen serta mengundi secara selamat, dalam keadaan penularan wabak yang begitu mudah merebak.

“Sejak beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan bukan saja mengumumkan kes harian Covid-19 yang memecah rekod, malah turut menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kematian yang semakin meningkat akibat penyakit itu.

“Keadaan ini mungkin semakin teruk 10 kali ganda selepas pilihan raya umum,” ujarnya.

Azrul berpandangan adalah sukar rakyat patuh sepenuhnya kepada peraturan jika PRU15 diadakan, dan tidak menolak ada yang tidak mengendahkannya langsung, manakala undi pos belum diberikan sebagai pilihan.

“Jika ada keperluan untuk menyelesaikan perbezaan politik dan memutuskan secara muktamad siapa yang mempunyai sokongan rakyat, seterusnya membentuk kerajaan, persoalan itu perlu diselesaikan di Parlimen,” kata Azrul.

Katanya, ini akan memastikan sebarang ancaman jangkitan akan dapat dikawal, berbanding pilihan raya umum yang pasti merisikokan orang awam.

BBerkaitan

Latest articles