KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan serta-merta selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan akhir pendakwa raya terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan menerima rasuah RM5,000 tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang turut mengeluarkan waran komital bagi membolehkan Azmil Muntapha dihantar terus ke Penjara Kajang.
Azmil Muntapha yang pernah menjadi koroner dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock, menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2024 yang hanya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000.
Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengembalikan hukuman asal oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 19 Oktober 2022 iaitu penjara enam bulan dan denda RM25,000, atau tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Ketika membacakan keputusan, Hakim Mohd. Nazlan menegaskan bahawa kesalahan rasuah yang dilakukan Azmil Muntapha adalah serius kerana melibatkan kedudukannya sebagai penjawat awam yang memikul amanah kehakiman.
“Rasuah menggugat ekonomi, menafikan hak rakyat dan melemahkan sistem demokrasi serta undang-undang negara. Lebih teruk, jenayah ini dilakukan oleh seorang hakim – bukan sebarang penjawat awam,” katanya.
Beliau menambah, hukuman asal Mahkamah Sesyen adalah setimpal dan adil setelah mempertimbangkan semua faktor mitigasi dan pemberatan yang relevan, serta prinsip perundangan yang diguna pakai.
Azmil Muntapha didapati bersalah menerima wang tunai RM5,000 tanpa balasan ketika bertugas sebagai hakim Mahkamah Sesyen yang mengendalikan kes melibatkan enam Orang Kena Tuduh (OKT) di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Wang tersebut diterima pada 10 Mei 2018 di sebuah bank di Setia Alam, Shah Alam, dan disabitkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan bersama Dr. Ifa Sirrhu Samsudin, Maziah Mohaide, Siti Amirah Muhammad Ali dan Elyza Amira Habeeb Rahman. Azmil Muntapha pula diwakili barisan peguam diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohtarudin Baki.