KUALA LUMPUR: Pihak pembangkang perlu menghentikan agenda hendak menukar kerajaan kerana ia akan membantutkan usaha menambahbaik sistem perundangan negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan kini sedang berusaha untuk melakukan beberapa pindaan undang-undang termasuk melibatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Malah pindaan undang-undang boleh dilakukan namun mekanismenya itu selalunya mengambil masa lebih lama.
Bagaimanapun usaha itu mungkin jadi sia-sia sekiranya ada pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan.
“Tapi Yang Berhormat, kalau selalunya nak bubar kerajaan, macam mana kami nak buat pindaan?”, ujar Azalina ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang bertanya bilakah pindaan tersebut dapat dilaksanakan.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan peringkat kementerian mengenai laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12), hari ini.
“Saya yakin dengan komitmen menteri, dan jangan dibuat lagi runcit-runcit. Kita buat sekali gus. Tanya kawan-kawan sebelah sana, menteri…kawan-kawan kita sebelah sana. Kena ada kestabilan politik,” tanya Dzulkefly.
“Kalau setiap kali buat gerakan nak tukar kerajaan, susahlah begitu,” jelas Azalina.