Bagaimana Keadaan Kerajaan Muhyiddin Selepas Makin Hilang Majoriti?

Pakar Perlembagaan, Bastian Pius Vendargon berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya beliau yakin tidak lagi mempunyai majoriti.

“Jika perdana menteri yakin beliau tidak lagi mempunyai (sokongan) majoriti, beliau perlu menawarkan untuk meletak jawatan kepada Agong dan Agong akan mengambil tindakan berikutnya dari situ,” katanya.

Reaksi itu menyusul selepas Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, yang juga Ahli Parlimen Machang mengumumkan menarik sokongannya terhadap Muhyiddin.

Penarikan sokongan Ahmad Jazlan menyebabkan Muhyiddin kini berbaki 111 sokongan Ahli Parlimen, berbanding 109 Ahli Parlimen di pihak Pakatan Harapan (PH) dan sekutu. Angka itu termasuk Jazlan.

Kerajaan PN memerlukan 112 sokongan untuk meraih majoriti mudah di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

Kematian dua Ahli Parlimen menyebabkan kerusi mereka masih kosong.

Perkembangan terbaru ini menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpotensi hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Kini, Muhyiddin perlu mengambil kira jumlah sokongan yang diperolehinya bagi memastikan sama ada beliau hilang sokongan majoriti.

Jelas Vendargon, peruntukan Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa Muhyiddin perlu memaklumkannya kepada Agong dan meletak jawatan atau memberi nasihat supaya Parlimen dibubarkan.

Vendargon berkata Agong mungkin akan meminta mana-mana pihak yang mempunyai sokongan majoriti untuk kerajaan baru, atau menerima nasihat perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dan membuka jalan untuk pilihan raya baru diadakan.

Namun dalam situasi terkini COVID-19, Agong juga boleh menolak peletakan jawatan itu atau melantik kerajaan interim sehingga krisis pulih.

Bahkan menurut Verdargon yang juga seorang peguam, krisis kesihatan tidak memerlukan keadaan darurat untuk diisytiharkan, memandangkan ia tidak termasuk dalam salah satu kategori di bawah Perkara 150.

Darurat hanya boleh diisytiharkan sekiranya terdapat keadaan kecemasan yang buruk melibatkan keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.

“Seseorang boleh berhujah bahawa kerana COVID-19, ekonomi sekarang berada dalam keadaan darurat. Ini adalah satu cara tidak langsung untuk berhujah sedemikian,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad Jazlan adalah ahli UMNO kedua yang mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, selepas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut Ahmad Jazlan, keputusan itu diambil selepas melihat kerajaan hari ini dilihat seolah-olah tidak membela rakyat dan dalam masa yang sama menganiaya UMNO.

Beliau berkata, bantahan sokongan itu tidak dimaklumkan lebih awal kepada presiden parti namun surat makluman akan menyusul selepas ini.

“Seramai 12 daripada 14 bahagian (UMNO) meminta saya untuk mempertimbangkan agar menarik balik sokongan kepada kerajaan PN yang ditunjangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Perdana Menteri daripada parti itu.

“Pada hemat kami, semua kerajaan yang ada hari ini tidak berupaya mengurus tadbir negara dengan baik dan tak berjaya laksanakan amanah yang diberikan dengan seadilnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles