Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk Warisan, jika kedua-duanya mempunyai hala tuju yang serupa.
Namun bekas menteri luar itu menyifatkan Warisan tidak mempunyai semangat perjuangan sama dengan PCS yang mungkin menyukarkan kerjasama diadakan.
Malah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, PCS yang baru dijenamakan semula itu mahu bergerak secara sendirian.
“Kita boleh bekerjasama (dengan parti tempatan lain) jika ada misi dan visi yang sama kerana matlamat kita adalah untuk berjuang untuk orang Sabah.
”Ya kalau Warisan mempunyai misi dan visi yang sama, kenapa tidak (bekerjasama), tetapi bagi saya, PCS dan Warisan ini bagai langit dengan bumi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tegas Anifah, PCS memperjuangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan rakyat Sabah, termasuk Perjanjian Malaysia (MA63).
Malah beliau juga mengingatkan mana-mana pihak luar, terutamanya kerajaan persekutuan untuk tidak mengambil kesempatan menawarkan ‘manfaat’ kepada Sabah lebih-lebih lagi dalam tempoh mendekati PRN Sabah.
”Saya juga ingin meminta kepada rakan-rakan di semenanjung seperti Umno, PPBM, biarlah kami uruskan negeri kami sendiri.
”Sudah tiba masanya parti tulen tempatan yang mentadbir negeri ini, tetapi ia tidak bermakna kita menentang parti di semenanjung. Kita akan bekerjasama dari segi hal-hal lain,” katanya.
Bagi PRN Sabah akan datang, Anifah memberitahu partinya akan mengemukakan muka-muka baru daripada belia dan wanita.