AYER KEROH: Seorang lelaki yang bekerja sebagai badut belon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan November lalu.
Bagaimanapun lelaki yang berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaannya.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.
Sementara itu pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap tubuh mangsa sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tehel, dalam daerah Jasin, di sini kira-kira pukul 6 pagi 25 November lalu.
Perbuatan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan serius namun mencadangkan RM10,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara serta syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pengutip besi dan badut menjual belon.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan kes disebut semula 14 Januari depan untuk lantikan peguam.