Badan Peguam Sifatkan Hukuman Sebat Di Khalayak Awam Kejam, Menjatuhkan Maruah Individu

KUALA LUMPUR: Hukuman sebat yang dilakukan di khalayak awam disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, demikian menurut Badan Peguam Malaysia.

Mereka juga mendakwa hukuman sedemikian sekaligus menjatuhkan maruah seseorang individu.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, hukuman sedemikian juga bukan jalan terbaik untuk menggalakkan pemulihan atau untuk bertaubat.

“Pendekatan ini menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Badan Peguam Malaysia kemudiannya menggesa Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan mempertimbang semula amalan merotan awam dengan menyemak dan meminda undang-undang yang membenarkan sedemikian.

Kenyataan badan tersebut sebagai merujuk pelaksanaan hukuman sebat terhadap seorang tukang rumah, Mohd. Affendi Awang, 42, esok kerana kesalahan khalwat berulang.

Lelaki itu merupakan individu pertama di negeri berkenaan yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai.

Hukuman enam kali sebatan itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu setelah lelaki itu mengaku bersalah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Baru-baru ini polis dilaporkan berkata pihaknya akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu bagi mengawal keselamatan dan kelancaran proses hukuman sebat ke atas tukang rumah itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles