Badan Kehakiman Malaysia Ucap Takziah Atas Pemergian Bekas Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA — Badan Kehakiman Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdul Hamid bin Haji Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.

Ketua Hakim Negara, YAA Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam satu kenyataan berkata beliau mewakili seluruh warga Badan Kehakiman Malaysia menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham pada 19 Februari 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara bermula 1 November 2007 hingga 17 Oktober 2008 dan disifatkan sebagai tokoh yang banyak menyumbang kepada institusi kehakiman negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Sesungguhnya kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.

Badan Kehakiman Malaysia turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Tun Abdul Hamid dikenali atas sumbangan beliau yang besar kepada sistem kehakiman negara dan peranan beliau dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus badan kehakiman Malaysia sepanjang kerjayanya.

Allahyarham dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi dan menengah di St. Xavier’s Institution sebelum memperoleh ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada 1969.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak, serta menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.

Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun.

BBerkaitan

Latest articles