Azmin Sahkan PN Adakan Perbincangan Dengan MCA, MIC

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan wujud perbincangan tidak rasmi antara gabungan itu dengan MCA dan MIC, dua parti komponen Barisan Nasional (BN).

Azmin berkata, kedua-dua parti itu mengiktiraf dasar kerajaan PN terdahulu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai adil dan inklusif, mewakili semua lapisan masyarakat.

“Ya, memang ada pertemuan dan perbincangan tidak rasmi kerana mereka rakan-rakan kita,” katanya dipetik Sinar Harian.

Ditanya sama ada ia memberi bayangan MCA dan MIC bakal menyertai PN, Azmin menegaskan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

“Itu satu permulaan yang baik. Dari situ, kita akan cari titik persamaan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, perbincangan PN tidak terhad kepada MCA dan MIC sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua pihak yang bersedia mengutamakan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau parti.

Azmin turut menegaskan pengalaman MCA dan MIC dalam kerajaan mampu membantu PN merangka dasar progresif, khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi.

“Kita perlukan idea baharu, termasuk daripada anak muda, bagi mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat,” katanya.

MCA dan MIC sebelum ini merupakan tonggak penting dalam BN bersama UMNO.

Namun, kedua-dua parti itu lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan serta pengaruh mereka dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jun lalu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan semua 191 bahagian parti itu akan membincangkan hala tuju MCA pada perhimpunan agung Oktober ini, manakala MIC pula menyatakan kesediaan membuka rundingan dengan mana-mana pihak demi survival politiknya.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada perbincangan mengenai hasrat MCA atau MIC meninggalkan BN dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi gabungan itu.

BBerkaitan

Latest articles