SHAH ALAM: Ketua Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, optimis gabungan itu mampu merampas semula pentadbiran negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menambah sekurang-kurangnya 10 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam satu video dimuat naik ke akaun Facebook rasminya, Azmin yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata keyakinan itu bersandarkan gelombang sokongan yang semakin meningkat terhadap PN sejak beberapa siri jelajah diadakan.
“Kami akan menyumbangkan satu lagi negeri yang akan ditadbir oleh PN, ditunjangi Bersatu. Insya-Allah, kita akan tawan 10 lagi kerusi dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap dalam program Kembara Bersatu Selangor bulan lalu.
Jelajah tersebut turut diperluas ke negeri-negeri lain termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam usaha memperkukuh kekuatan akar umbi dan mendekati pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
Pada PRN Selangor yang berlangsung Ogos 2023, PN berjaya memenangi 22 daripada 56 kerusi DUN, namun gagal membentuk kerajaan negeri.
Pakatan Harapan (PH) kekal menerajui pentadbiran negeri melalui gabungan dengan Barisan Nasional (BN), yang menguasai 34 kerusi secara keseluruhan.
PN sebelum ini menawan kawasan-kawasan strategik seperti Hulu Kelang, Gombak Setia, Taman Medan, Sungai Kandis, Jeram, Dengkil, dan Sungai Panjang, selain beberapa kubu kuat lain di utara dan tengah Selangor.
Walau bagaimanapun, PN kehilangan kerusi Selat Klang apabila wakil rakyatnya, Abdul Rashid Asari, mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dari PH.
Azmin juga mengisyaratkan bahawa pendekatan PN di Selangor akan memberi fokus kepada isu rakyat, kos sara hidup, serta aspirasi pengundi muda yang semakin kritikal dalam menentukan keputusan pilihan raya.
“PN bukan sekadar mahu menang kerusi, tetapi ingin membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Selangor. Kami yakin, momentum ini akan terus berkembang,” katanya lagi.