Azizul Teruskan Legasi Arwah Tok Nan Di Tanjung Datu

LUNDU: Parti Pesaka Bumiputera (PBB) memberi laluan kepada anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan), Azizul Annuar Adenan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Untuk rekod, ketika ini kerusi berkenaan disandang oleh balu kepada Tok Nan iaitu Datuk Amar Jamilah Anu.

Jamilah menang kerusi DUN Tanjong Datu pada Pilihan Raya Kecil 2017, menggantikan suaminya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Bagaimanapun Jamilah membuat keputusan untuk tidak mempertahankan Tanjung Datu pada PRN Sarawak kali ini, dan mahu memberi ruang kepada Azizul.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata PBB menerima pengunduran Jamilah dan percaya dengan kemampuan Azizul meneruskan kehebatan Tok Nan di kerusi yang sama.

“Kami di Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sendiri mahu orang muda… adalah wajar kami memberi laluan kepada anaknya untuk meneruskan wawasannya (Allahyarham Adenan Satem). Saya rasa beliau (Azizul) sudah bersedia, beliau berbakat, mempunyai latar belakang… saya tak kisah nak bagi tahu, beliau ada karakter, macam bapa dia juga.

“Saya beri bayangan tadi dan saya akan sahkan pada 3 Dis nanti. Selalunya bayang-bayangan akan jadi benar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal SarawakCentex Lundu, hari ini.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata pada PRN kali ini, beliau mahu menampilkan calon orang muda kerana mereka berpotensi di samping melatih mereka untuk memimpin Sarawak di masa hadapan.

“Kami (GPS) bagi pendedahan bagaimana untuk menguruskan politik yang stabil, bagaimana menguruskan pembangunan yang memberikan kesan kepada rakyat… apakah kualiti pimpinan yang mesti ada, Alhamdulilah kita dalam parti (PBB) kita ada pimpinan yang kita latih.

“Kita bekerja dalam satu pasukan, lagi-lagi pasukan besar bernama GPS, bukan senang memimpin Sarawak … kita mesti adil kerana rakyatnya berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles