Azam Sudah Dipanggil Jawatankuasa Khas Berhubung Isu Pemilikan 17.7 Juta Saham

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan pada Khamis lalu berhubung isu pemilikan saham.

Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang memaklumkan siasatan sedang dijalankan secara terperinci.

Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan berkaitan pemilikan saham tersebut.

Bukan itu sahaja, beberapa saksi lain turut akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Jawatankuasa turut memberi jaminan bahawa proses siasatan akan dilaksanakan secara bebas, telus dan profesional tanpa sebarang campur tangan.

Difahamkan, hasil siasatan bersama syor tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang jenayah atau peraturan semasa.

Terdahulu, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi meneliti dakwaan berkenaan.

Kontroversi ini tercetus susulan laporan yang mengaitkan Azam dengan pemilikan 17.7 juta saham bernilai RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.

Bagaimanapun, Azam sebelum ini menegaskan pegangan saham miliknya yang dianggarkan bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mematuhi prosedur penjawat awam.

BBerkaitan

Latest articles