KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan pegangan saham bernilai kira-kira RM800,000 miliknya dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan telah dibeli dan dilupuskan dalam tahun yang sama, selain diisytiharkan mengikut prosedur rasmi kerajaan.
Menurut Azam, pengisytiharan berhubung pegangan saham berkenaan, termasuk sumber pendapatan, telah dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya telah membuat pengisytiharan penuh berkaitan perkara ini termasuk sumber pendapatan. Semua dilakukan secara telus dan mengikut saluran yang ditetapkan,” katanya seperti dipetik laporan New Straits Times.
Beliau turut menafikan dakwaan wujud unsur penyelewengan dan menyifatkan laporan yang mempersoalkan urus niaga saham tersebut sebagai mengelirukan serta mempunyai niat tidak baik.
Susulan itu, Azam tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan laporan berunsur fitnah.
Isu berkenaan tercetus selepas Bloomberg melaporkan nama Azam tersenarai sebagai pemegang saham dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.
Malah, rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan namanya masih tertera dalam daftar pemegang saham syarikat tersebut.
Berdasarkan harga penutupan dagangan saham pada Isnin, nilai pegangan berkenaan dianggarkan sekitar RM800,000.
Bagaimanapun, pekeliling kerajaan bertarikh 2024 berkaitan tatakelakuan penjawat awam menetapkan bahawa pegawai kerajaan hanya dibenarkan memiliki saham dalam syarikat tempatan jika pegangan itu tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah. Pekeliling sama turut mewajibkan pengisytiharan aset dibuat secara berkala.
Pendedahan itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Karim, yang mendesak penjelasan lanjut daripada kerajaan serta Azam sendiri, selain gesaan supaya kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak disambung.










