SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak akan bercuti daripada tugasnya meskipun berdepan desakan berhubung siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham bernilai ratusan ribu ringgit.
Menurut beliau, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana beliau masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa dan tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan.
“Ramai yang dituduh di mahkamah masih memegang jawatan. Apa masalahnya? Saya ini penjenayah ke?” katanya tegas ketika ditemui media selepas merasmikan program Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Buah.
Kenyataan itu hadir susulan gesaan beberapa pihak, termasuk badan pemantau pilihan raya, agar beliau bercuti sementara siasatan dijalankan.
Azam menjelaskan beliau tidak akan mencampuri urusan jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada badan itu menjalankan tugas secara bebas dan telus.
Beliau turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh, termasuk menyerahkan dokumen atau keterangan yang diperlukan.
“Saya tiada apa yang hendak disorokkan. Bila-bila masa dipanggil, saya bersedia serahkan semua dokumen,” katanya.
Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Laporan oleh Bloomberg menyebut pegangan saham itu dianggarkan bernilai sekitar RM800,000 berdasarkan rekod pemfailan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam menegaskan semua aset dan kepentingan kewangannya telah diisytiharkan mengikut peraturan perkhidmatan awam.










