KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg susulan penerbitan artikel yang didakwa memfitnah beliau.
Writ saman dan penyata tuntutan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menerusi firma guaman Zain Megat & Murad.
Walaupun kenyataan media tidak memperincikan kandungan penuh artikel yang dipertikaikan, tindakan sivil itu menuntut ganti rugi sewajarnya selain perintah injunksi kekal bagi menghalang penyiaran lanjut dakwaan berkenaan.
Pada 12 Februari lalu, pihak Azam telah memberi bayangan tindakan undang-undang akan diambil, termasuk tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta.
Ia susulan laporan yang mendakwa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan kira-kira 1.7 peratus pegangan berdasarkan penyata tahunan syarikat bertarikh 3 Februari tahun lalu.
Nama beliau turut dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Bagaimanapun, Azam menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Menurut Zain Megat & Murad, artikel berkenaan mengandungi unsur libel serta sindiran yang tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan.
Firma itu mendakwa penerbitan laporan tersebut telah mencederakan reputasi Azam secara serius, selain menjejaskan maruah, kredibiliti dan integriti institusi yang diterajuinya.
Peguam beliau turut menjelaskan bahawa saham yang dirujuk dalam laporan tersebut telah dilupuskan sebelum artikel diterbitkan dan perkara itu boleh disahkan melalui deklarasi serta rekod dokumen sedia ada.
Laporan berkenaan turut mengaitkan perkara itu dengan pekeliling kerajaan 2024 yang menetapkan penjawat awam hanya boleh memegang saham tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran yang mana lebih rendah.
Namun Azam menegaskan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam pasaran pada masa ini dan tidak melanggar mana-mana peraturan.
“Tindakan undang-undang ini dimulakan untuk membersihkan reputasinya,” menurut kenyataan tersebut.
.










