Azalina Dilantik Presiden AOP IACA ke-13

VIENNA, 30 Oktober 2024 – Malaysia mencipta sejarah dalam bidang pencegahan rasuah antarabangsa apabila YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), dilantik sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) International Anti-Corruption Academy (IACA) bagi sesi ke-13. Pelantikan bersejarah ini berlangsung dalam perhimpunan AoP di Vienna International Center, Vienna hari ini.

Ini merupakan kali pertama Malaysia diamanahkan untuk memegang jawatan tertinggi dalam AoP IACA, sebuah platform penting bagi pembangunan kapasiti global dalam pencegahan rasuah. Sebagai Presiden AoP, YB Dato’ Sri Azalina akan memimpin Biro AoP dan keanggotaan IACA yang terdiri daripada 77 negara serta 4 pertubuhan antarabangsa dalam membentuk dasar dan strategi IACA demi mengukuhkan peranan akademi dalam pendidikan dan latihan antirasuah.

Malaysia sebelum ini pernah dipilih sebagai Naib Presiden pada empat sesi mesyuarat AoP IACA, iaitu pada tahun 2014, 2015, 2019, dan 2023. Mengulas mengenai pelantikan ini, YB Dato’ Sri Azalina menganggapnya sebagai penghormatan besar kepada Malaysia, dan bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah di peringkat global. Pelantikan ini turut mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap ketegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam menangani isu rasuah.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, turut dilantik semula sebagai anggota Board of Governors (BoG) IACA bagi sesi 2024-2027. Dengan peranan ini, Tan Sri Azam diharapkan dapat membantu memperkukuhkan hala tuju IACA dan memastikan agenda pencegahan rasuah yang lebih berkesan. Pelantikan ini juga menyumbang kepada pengukuhan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pusat latihan pencegahan rasuah di Asia Pasifik.

Pengiktirafan IACA kepada Malaysia turut melengkapi pelbagai inisiatif anti-rasuah sedia ada seperti Strategi Nasional Antirasuah (NACS) 2024-2028 yang bertujuan memperkukuh integriti, ketelusan, dan akauntabiliti dalam pelbagai sektor. Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) juga sedang melaksanakan beberapa reformasi perundangan seperti penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, dan kemas kini kepada Akta Pemegang Amanah.

Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan kerja ke Vienna, YB Dato’ Sri Azalina turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Eksekutif United Nations Office in Vienna (UNOV) dan Pengarah Eksekutif United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), PYT Ghada Fathi Waly, untuk membincangkan kerjasama dalam menangani jenayah siber dan Transnational Organized Crime (TOC), termasuk melalui ASEAN Law Forum 2025. Beliau juga melawat fasiliti IACA dan mengadakan pertemuan dengan Dekan IACA, Prof. Slagjana Taseva.

Dengan pengiktirafan antarabangsa ini, Malaysia optimis untuk mencapai sasaran 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dalam tempoh 10 tahun akan datang, selaras dengan usaha negara menjadi bebas rasuah.

BBerkaitan

Latest articles