Ayer Kuning Bukti Kekuatan Malaysia Dalam Perpaduan – Zambry

TAPAH — Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, menegaskan pentingnya keharmonian masyarakat majmuk sebagai kekuatan utama negara, sambil menyoroti Parlimen Tapah sebagai contoh terbaik kerjasama antara kaum di Malaysia.

“Parlimen Tapah ini, termasuk Air Kuning, menjadi simbol bagaimana tiga kaum utama – Melayu, Cina dan India – dapat bekerjasama dengan begitu baik. Ini bukan kali pertama, malah ketika saya menjadi Menteri Besar dahulu pun situasinya sama,” katanya.

Menurut beliau, semangat perpaduan dan kerjasama rentas kaum di Tapah harus dijadikan contoh kepada seluruh negara, sambil menasihatkan agar semua pihak tidak terjebak dengan permainan sentimen perkauman dan retorik politik keterlaluan Katanya ketika ditemui di program Outreach KPT @Perak di Dewan Serbaguna RPA2 Ayer Kuning, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional turut menyelar pemimpin yang sering mengeluarkan kenyataan keterlaluan.

“Kita tidak mahu pemimpin kita bersikap bongkak dan terlalu yakin sehingga mengeluarkan kenyataan keterlaluan.

Pendekatan Barisan Nasional adalah bekerja untuk rakyat, tanpa membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan, tanpa bermain sentimen-sentimen rakyat yang boleh merosakkan dari segi kedudukan kehidupan rakyat,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zambry turut memaklumkan bahawa Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 telah pun disiapkan oleh jawatankuasa khas Kementerian Pengajian Tinggi dan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk pelancaran rasmi.

“Kita sedang meneliti waktu yang sesuai untuk melancarkannya tahun ini. Pelan ini akan menjadi dokumen hidup (living document) yang tidak kaku, dan akan disesuaikan dari semasa ke semasa mengikut perubahan dalam landskap pendidikan, terutamanya dalam konteks perkembangan teknologi terkini seperti AI dan teknologi kuantum,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kajian impak akan dilakukan secara berterusan sepanjang pelaksanaan pelan tersebut, yang melibatkan penglibatan universiti, politeknik dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Impaknya bukan serta-merta tetapi akan dinilai secara berkala termasuk melalui kajian separuh penggal. Fokus kita adalah memastikan dasar ini kekal relevan dalam dunia yang berubah pantas,” tambah beliau.

Pelan tersebut dijangka memberi arah baharu kepada sistem pendidikan tinggi negara dalam menghadapi cabaran global dan teknologi sepanjang dekad akan datang.

BBerkaitan

Latest articles