Autonomous Rapid Transit (ART) Penyelesaian Terbaik Atasi Kesesakan Di Johor Bharu

Sempadan Malaysia dan Singapura adalah laluan sempadan darat paling sibuk di dunia. Tambak Johor yang dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924, kini sudah berusia lebih 100 tahun. Kerja-kerja pembinaan Tambak Johor bermula pada Ogos 1919 & upacara peletakan batu asasnya berlangsung pada 24 April 1920 yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar.

Laluan ini, semakin hari semakin sibuk dan menjadi pilihan utama rakyat kedua-dua negara untuk menggunakannya selain laluan udara dan laut. Penghujung 2023, dalam Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10, isu kesesakan Tambak Johor telah diperbincangkan antara pemimpin kedua buah negara. Sewaktu itu, data menunjukkan seramai 350,000 menggunakan Tambak Johor setiap hari.

Tambak Johor, atau turut dipanggil ‘Koswey’ (causeway) adalah sambungan darat pertama antara Semenanjung Malaysia dengan Singapura. Ia menyeberang Selat Tebrau sepanjang 1,056 meter, menyambungkan Johor Bahru dengan Woodlands – Gambar Arkib Negara Malaysia

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) pula mengunjurkan jumlah trafik di Woodlands Check Point (WCP) meningkat hampir 40 peratus menjelang 2050. Ini bermakna, purata harian kira-kira 400,000 pengembara berbanding tahap sebelum pandemik iaitu kira-kira 300,000 orang pada tahun 2019.

Ada pekerja yang keluar bekerja seawal jam 2 pagi dan 3 pagi untuk mencari rezeki di Singapura. Mereka pulang semula ke rumah di Johor pada awal malam dan keluar semula mencari rezeki pada awal pagi. Begitulah rutin majoriti pekerja yang menyeberangi Tambak Johor setiap hari. Oleh itu, pelbagai kaedah dan penyelesaian dirangka bagi mengatasi isu kesesakan di tambak ini. Bila masa dapat dijimatkan, produktiviti dan kualiti hidup pekerja dapat ditingkatkan.

Untuk merungkai kesesakan trafik di Tambak Johor ini, RTS Link telah dicadangkan yang menghubungkan kedua buah negara. RTS Link adalah rangkaian tren ulang-alik sepanjang kira-kira 4 kilometer panjang dengan dua stesen, satu di Bukit Chagar, Johor Bahru, Malaysia dan satu di Woodlands, Singapura. RTS Link boleh memuatkan 10,000 penumpang setiap jam, setiap arah.

Pada 11 Januari 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong buat pertama pemimpin tertinggi dua negara bertemu di tapak projek Projek Rapid Transit System Link (RTS Link). Sehingga Jun 2024, menurut laporan daripada MRT Corp sudah 82.14% projek RTS Link telah disiapkan.

Bila projek RTS Link siap, rakyat di Johor Bharu perlu menggunakan satu sistem pengangkutan yang lebih bersepadu, efisien bagi menghubungkan mereka dengan sistem pengangkutan sedia ada di RTS Link. Di utara RTS Link ada Skudai, Pasir Gudang di timur dan di sebelah baratnya ada Iskandar Puteri. Perlu ada satu sistem pengangkutan yang efisien dari ketiga-tiga arah ini untuk ke RTS Link di Bukti Chagar, Johor Bharu.

Sistem Johor Autonomous Rapid Transit (ART) adalah inisiatif pengangkutan awam yang bakal diperkenalkan untuk meningkatkan mobiliti di Johor, khususnya di kawasan Iskandar Malaysia. ART ini menawarkan mod pengangkutan yang lebih cekap, mesra alam, dan berteknologi tinggi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sambungan yang lebih baik.

Apakah ciri-ciri yang ada dalam ART? Sistem ini akan menggunakan kenderaan autonomi, yang bermaksud ia akan bergerak sendiri dan bergantung kepada teknologi canggih seperti sensor, kamera, dan sistem GPS untuk beroperasi dengan selamat.

Pilot Project ART yang di Putrajaya selama 4 hari sempena Hari Terbuka Putrajaya pada 1 hingga 4 Februari 2024.

Sistem ART juga berbeza dengan transit aliran ringan (LRT) tradisional, kenderaan ART bergerak menggunakan tayar getah dan bukan landasan besi. Ini menjadikannya lebih fleksibel dan kos efektif kerana tidak memerlukan infrastruktur yang mahal seperti landasan kereta api.

Walaupun tidak menggunakan landasan, ART boleh bergerak pada kelajuan yang setanding dengan tram atau sistem LRT, menawarkan perkhidmatan yang pantas dan boleh dipercayai.

ART adalah mesra alam, dijana oleh kuasa elektrik, menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon. Ini sejajar dengan usaha Johor untuk membangunkan penyelesaian pengangkutan bandar yang lestari.

ART mampu membawa kapasiti penumpang yang lebih ramai dan tidak memerlukan pemandu. ART lebih mesra alam sekitar selari dengan standard Environmental, Social dan Governance, ESG. Dikuasakan dengan elektrik dan secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan telah menjawab dalam Dewan Rakyat pada 29 Julai 2024 menyatakan Kerajaan Malaysia pada masa ini sedang melaksanakan kajian bagi penyuraian trafik di Johor dan mencadangkan Rapid Transit System, RTS sebagai salah satu penyelesaian.

RTS Link yang sedang dibangunkan antara Bukit Chagar dan Woodlands kini sudah lebih 80% siap, bila sampai di Bukit Chagar, satu sistem pengangkutan diperlukan untuk integrasikan penduduk Johor Bharu nanti. ART adalah salah satu pilihan terbaik dari segi kos efektif, efisien dan alam sekitar.

ART adalah penyelesaian terbaik dan pelengkap kepada RTS Link. Penyuraian dan kelancaran trarik di seluruh bandar Johor Bharu bila sistem ART ini diintegrasikan dengan mod pengangkutan awam lain seperti bas dan kereta api untuk memastikan perjalanan yang lancar di seluruh bandar

Dalam membangunkan Iskandar Malaysia sebagai hab ekonomi dan bandar terkemuka di Asia Tenggara, dengan infrastruktur bandar pintar serta teknologi terkini, sistem ART adalah pilihan terbaik untuk mengangkat imej dan nama Iskandar Malaysia di persada dunia.

ART adalah jawapan untuk menyuraikan masalah kesesakan lalulintas di Johor Bharu. Kualiti kehidupan rakyat Malaysia yang berulang alik kerana mencari rezeki di Singapura pada setiap hari akan menjadi lebih baik. Mereka akan ada lebihan masa untuk bersama dengan keluarga, malah produktiviti mereka sebagai pekerja akan menjadi lebih baik bila masalah kesesakan dapat diatasi sepenuhnya.

BBerkaitan

Latest articles