AUKU: Pemuda PH Nak Jumpa Khaled

 

Seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Pemuda Harapan akan terus memperjuangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Perkara itu dimaklumkan Naib Ketua Pemuda Harapan, Young Syefura Othman dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini. 

Dia yang juga ahli parlimen Bentong berkata, wakil Pemuda Harapan akan bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat bagi menyuarakan perkara itu. 

“Kita kekal komited dengan usaha untuk memastikan Auku dimansuhkan seperti yang diumumkan dalam manifesto PH pada pilihan raya umum yang lalu. 

“Jadi, satu perbincangan lanjut mengenai perkara ini perlu diadakan bersama menteri berkaitan dalam masa terdekat. 

“Kami (Pemuda Harapan) juga sudah mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan mahasiswa dan mendengar pandangan mereka berhubung isu Auku dan (isu) hak kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya. 

Young Syefura berkata, pertemuan dengan wakil mahasiswa Universiti Malaya dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang diadakan di pejabat ahli parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii di ibu negara semalam. 

Katanya, pertemuan itu turut disertai ahli parlimen Raub, Chow Yu Hui; ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli dewan undangan negeri Tanah Rata (Pahang), Ho Chi Yang. 

Mohamed Khaled dalam jawapan bertulis di dewan rakyat pada 24 Februari lalu memaklumkan kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku kerana akta itu masih relevan dan dibimbangi mengganggu tadbir urus universiti jika dimansuhkan buat masa ini. 

“Proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjut memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605),” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Young Syefura turut memberitahu dia bersama Kelvin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli turut mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul bagi membincangkan penubuhan Kaukus Bipartisan ahli parlimen muda. 

“Pertemuan itu juga diadakan semalam dan cadangan untuk menubuhkan kAukus berkenaan adalah mengambil kira jumlah ahli parlimen muda yang ramai pada sesi dewan rakyat untuk penggal ini. 

“Kaukus ini berperanan sebagai jawatankuasa kecil yang memperjuangkan dan membawa isu berkaitan anak muda ke peringkat parlimen supaya satu polisi lebih baik (untuk anak muda) dapat digubal.

“Kita harap ia (Kaukus) akan disertai semua ahli parlimen muda daripada semua parti,” katanya. 

BBerkaitan

Latest articles