KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan Eksesais AMAN YOUYI 2025 bersama People’s Liberation Army (PLA) dari China bermula 15 hingga 23 Oktober tahun depan bagi memperkukuh kerjasama ketenteraan dua negara.
Latihan dwitahunan anjuran Markas Angkatan Bersama (MK AB) itu dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Selangor termasuk Klang, Subang dan Puchong, selain melibatkan operasi di perairan Selat Melaka.
Menurut kenyataan Sel Hal Ehwal Awam MK AB, eksesais ini bertujuan meningkatkan keupayaan interoperabiliti antara ATM dan PLA supaya kedua-dua pasukan dapat bekerjasama secara efektif dalam pelbagai situasi operasi.
“Latihan ini juga penting untuk memperkukuh kesiagaan pasukan dalam melaksanakan operasi kemanusiaan serta memastikan keselamatan maritim di rantau ini,” jelas kenyataan itu.
Pihak ATM turut menjelaskan bahawa pergerakan anggota tentera asing, konvoi aset ketenteraan serta beberapa aktiviti taktikal mungkin dapat dilihat bermula seawal 13 Oktober 2025, iaitu sebelum latihan rasmi dimulakan.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan tidak cemas atau membuat spekulasi sekiranya melihat kehadiran aset dan anggota tentera di kawasan terlibat.
Antara lokasi utama latihan termasuk Klang, Puchong, Subang dan Perairan Selat Melaka.
Eksesais AMAN YOUYI sebelum ini menjadi platform penting untuk memperkukuh diplomasi pertahanan, perkongsian pengetahuan serta meningkatkan keyakinan antara ATM dan PLA dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.