ATM Tak Langgar Arahan NADMA

 

SHAH ALAM: Menjawab dakwaan pihaknya melanggar arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan bahawa arahan pergerakan menyelamatkan mangsa banjir telah dikeluarkan oleh kerajaan sejak dua bulan lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejak arahan berkenaan dikeluarkan, maka anggota ATM sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. 

Reaksi itu diberikan Affendi selepas timbul dakwaan anggota ATM yang membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan tanpa menunggu arahan daripada NADMA.

“Operasi banjir ini kita akan letakkan semua dalam mode standby. Kalau air naik maknanya arahan daripada atas daripada dua bulan lepas.

“Kalau air naik, saya nak tunggu siapa lagi? Saya ada orang di sana, aset saya gerakkan nak tunggu apa lagi,”katanya ketika sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PSTK) di Taman Sri Muda hari ini.

Tambah Affendi, dalam keadaan terdesak apabila kawasan tertentu dinaiki air, anggota ATM dan asetnya tidak perlu menunggu pihak lain untuk menyelamatkan nyawa mangsa banjir.

Sehubungan itu Affendi mengulangi komitmen setiap pihak perlu saling bekerjasama pada masa akan datang khususnya untuk mengurangkan impak bencana banjir.

“Kalau semua bekerjasama saya rasa perkara yang kita hadapi sekarang (kesan) kita dapat kurangkan.

“Saya tidak mahu salahkan orang lain tapi kita semua perlu bekerjasama dan dalam masa darurat, bencana dalam masa ini tidak ada satu sistem betul yang boleh digunakan apa yang perlu semua bekerjasama kita akan dapat selesaikan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles