KOTA TINGGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti semula modul dan prosedur latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) susulan insiden kematian seorang pegawai kadet tahun lalu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, semakan menyeluruh itu melibatkan peraturan, tatacara serta bentuk latihan termasuk aktiviti fizikal intensif seperti latihan menembak, tempur, kecergasan dan kawad.
Menurut beliau, latihan ketenteraan sememangnya mencabar dan berdisiplin tinggi, namun tetap tertakluk kepada garis panduan yang jelas.
“Latihan tentera memang tegas, tetapi semuanya berpandukan prosedur. Jika ada pelanggaran atau tindakan melampaui batas, kita ada proses dalaman untuk tindakan sewajarnya,” katanya selepas lawatan ke Pos Tanjung Sepang.
Tambahnya, penambahbaikan modul Palapes akan dibuat sekiranya terdapat kelemahan bagi memastikan tiada unsur keterlaluan atau perlakuan tidak wajar berlaku sepanjang latihan.
Langkah itu, katanya, selaras komitmen ATM untuk mengekalkan standard profesionalisme dan keselamatan tanpa menjejaskan objektif pembentukan fizikal serta mental anggota.
Isu berkenaan timbul susulan pendakwaan tiga jurulatih Palapes yang juga pegawai ATM di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian pegawai kadet Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada Julai tahun lalu.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai 2025 selepas menjalani latihan di Ulu Tiram.
Kes itu kemudiannya diperintahkan digali semula oleh Mahkamah Tinggi bagi tujuan bedah siasat kedua, yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2025.
Pada 2 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum pertuduhan difailkan.
Malek Razak menegaskan ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta memastikan kebajikan dan hak semua anggota terlibat dipelihara sepanjang proses perundangan, selaras prinsip keadilan dan tadbir urus institusi.










