Atlet Paralimpik Akan Menerima Vaksin Pada 13 April

Atlet para negara yang bakal menyertai Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 bermula 13 April ini.

memetik laporan portal Berita Harian,Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata perincian mengenai suntikan berkenaan hanya diketahui beberapa hari sebelum tarikh berkenaan.

“Saya menerima maklum balas daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang suntikan pertama vaksin akan dilakukan pada 13 April ini untuk atlet, menteri dan saya dijadual dibuat sama ada di ISN ataupun Pusat Kesihatan di Cheras.

“Ini dos pertama untuk atlet dan pegawai yang akan pergi (Paralimpik). Bagaimanapun, jumlah mereka yang akan terbabit pada peringkat pertama itu, saya tidak pasti tetapi ia akan dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) nanti.

“Selepas peringkat pertama itu, atlet akan menerima suntikan seterusnya sehinggalah menjelang temasya,” kata Megat kepada media selepas Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MPM dan Hospital Rehab ReGen, hari ini.

Dalam pada itu, Megat turut mengumumkan pelantikan Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin sebagai ketua kontinjen Sukan Para ASEAN Vietnam 2021 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Disember ini di Hanoi.

Megat berkata, pelantikan Nor Azam menepati kriteria MPM dengan bekas anggota tentera itu mempunyai pengalaman luas dalam arena sukan termasuk sebagai atlet mahupun pegawai sukan.

“Kolonel Azam adalah pilihan tepat dengan pengalamannya dalam sukan dan beliau juga bekas pemain para badminton kebangsaan.

“Beliau pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Eksekutif MPM, bekas Ahli Majlis Badminton Para bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).

“Dengan pengalaman dimilikinya, kita tidak silap pilih. Beliau calon terbaik selain kami mahu menghargai khidmat yang dicurahkannya dalam sukan para dan negara,” kata Megat.

Sementara itu, Azam berkata, tanggungjawab diberikan MPM itu disifatkan sebagai satu cabaran apatah lagi dengan situasi dunia ketika ini berdepan pandemik COVID-19.

“Saya merasakan ia satu cabaran besar kerana dalam keadaan dunia sedang hadapi COVID-19, pelbagai perkara kita kena lalui. Sebagai ketua kontinjen, sudah tentu tugas saya adalah untuk mencapai sasaran diletakkan tetapi saya juga perlu melalui beberapa prosedur yang ketat untuk menentukan mereka yang pergi dan balik dengan selamat. “Selain itu sudah tentu mengenai isu bebas doping, dalam paralimpik juga ada isu doping dan badan antarabangsa juga memantau kita supaya kita bebas doping. Temasya ini juga adalah yang kedua saya ke Hanoi.

“Pertamanya pada 2003, ketika itu Vietnam hanya menganjurkan lima acara saja dan pada waktu itu kita menghadapi isu SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) tetapi tidak seteruk ini, jadi dengan sokongan MPM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN, kita akan lalui cabaran itu,” kata Azam.

BBerkaitan

Latest articles