Atlet Kayak Parah Dilanggar, Diseret Pemandu Mabuk

KUALA LUMPUR: Seorang atlet kayak negara dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya, dipercayai dilanggar dan diseret sejauh 600 meter oleh seorang pemandu mabuk.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman Instagram Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor pada Selasa.

Kejadian terhadap mangsa, Siti Nurul Masyitah Elias, didakwa berlaku pada Sabtu di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru.

Pelaku sempat menunjukkan isyarat ‘peace’ ketika ditahan.

Menurut saksi berserta rakaman ‘dashcam’, kereta terbabit dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Calombia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius,” kata persatuan itu menerusi satu kenyataan yang ditulis pada ruangan kapsyen Instagram.

Berdasarkan hantaran tular di media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuklah foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat ‘peace’.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal sering berulang alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.

“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.

“Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” ujar persatuan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles