KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan ASEAN perlu kekal teguh dan bersatu dalam menangani ketegangan di Laut China Selatan bagi mengelak perpecahan serta campur tangan pihak luar.
Menurutnya, sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan negara anggota hanya akan membuka ruang kepada kewujudan kumpulan kecil atau minilateral yang boleh menggugat solidariti serta keutamaan rantau ini.
“Keselamatan serantau mesti menjadi keutamaan utama. Kita perlu mengamalkan semangat perkongsian, mengelak ketegangan dan sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa yang mengikat kita semua,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, hari ini.
Mohamad menegaskan, faktor geografi menjadikan semua negara anggota ASEAN dan rakan dialognya saling terikat dalam isu maritim tersebut, justeru penyelesaian damai dan kerjasama serantau amat penting.
Sebagai Penyelaras Negara ASEAN bagi China dari Ogos 2024 hingga Julai lalu, Malaysia katanya kekal komited memperjuangkan kepentingan bersama terutama dalam memuktamadkan Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.
Konflik di kawasan itu berlarutan sejak sekian lama susulan tuntutan bertindih terhadap beberapa pulau, terumbu dan zon maritim oleh China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei serta Taiwan termasuk di Kepulauan Spratly, Paracel dan Terumbu Scarborough.
Tindakan Beijing menetapkan sempadan “Sembilan Garis Putus” (Nine-Dash Line) secara unilateral, yang merangkumi perairan berhampiran Natuna, terus menjadi punca ketegangan berpanjangan antara kuasa besar itu dan negara-negara ASEAN.










