KUALA LUMPUR — Malaysia, Singapura dan Vietnam mencipta sejarah baharu dalam kerjasama tenaga serantau apabila menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama bagi meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui dari sumber angin luar pesisir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perjanjian itu dimeterai di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, dengan disaksikan bersama oleh beliau dan rakan sejawat dari Singapura serta Vietnam.
Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama tiga syarikat utama rantau ini — MY Energy Consortium dari Malaysia (gabungan TNB dan PETRONAS), PTSC dari Vietnam (anak syarikat Petrovietnam), serta Sembcorp Utilities dari Singapura.
“Projek ini memfokuskan kepada pemanfaatan sumber tenaga angin luar pesisir Vietnam untuk menjana tenaga elektrik bersih yang akan disalurkan merentasi sempadan melalui kabel dasar laut yang dicadangkan dan disambungkan ke grid nasional di Semenanjung Malaysia,” jelas Perdana Menteri melalui hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Tambahnya lagi, inisiatif itu adalah sebahagian daripada visi Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) dan menyokong matlamat nyahkarbonisasi rantau ini dengan menyediakan bekalan tenaga yang stabil dan rendah karbon.
Projek tersebut juga dijangka menjadi pemacu penting dalam pembangunan model perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan berskala besar, sekali gus memperkukuh integrasi tenaga ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk terus memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh integrasi serantau, dan membina masa depan rendah karbon untuk seluruh rantau ini,” tegas Anwar.
Kerjasama ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang ASEAN serta memperluas pasaran tenaga bersih merentasi sempadan dengan teknologi infrastruktur moden.