ASEAN Makin Dihormati Dunia – Anwar

VIENTIANE: Peranan ASEAN terus mendapat pengiktirafan tinggi di pentas antarabangsa apabila hampir setiap pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin dunia pasti disusuli pertanyaan tentang perkembangan blok serantau itu.

Mendedahkan perkara itu ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 hari ini, Anwar berkata penghormatan tersebut membuktikan ASEAN semakin kukuh, dihormati dan diyakini sebagai satu entiti penting dunia.

“Saya baru sahaja pulang dari Rio de Janeiro di Brazil, sebelum itu dari Itali dan Perancis. Dalam setiap pertemuan dua hala bersama Malaysia, tanpa pengecualian mereka akan bertanya mengenai ASEAN.

“Semua mengiktiraf peranan ASEAN, yang kini berjaya mengukir kedudukan mengagumkan serta meraih penghormatan besar di peringkat antarabangsa,” katanya di hadapan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Menurut Anwar, pencapaian ASEAN ke tahap ini adalah hasil kepercayaan erat antara para pemimpin dan Menteri Luar negara anggota, selain usaha berterusan merapatkan hubungan walaupun berdepan cabaran termasuk dalam perdagangan intra-ASEAN serta pelaburan bersama.

“Kita sudah melalui pelbagai fasa. Walaupun ada bidang yang masih terbatas, kita tetap mencatat kemajuan membanggakan. Ini semua hasil tahap keyakinan dan kepercayaan tinggi sesama kita,” ujarnya.

Anwar turut mengakui ASEAN tidak terlepas daripada isu sensitif seperti krisis politik Myanmar, yang kini berpandukan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai asas mencari penyelesaian.

Katanya, biarpun perbincangan berkenaan isu Myanmar bukan mudah, namun sokongan tanpa berbelah bahagi terus diberikan oleh semua pemimpin ASEAN dalam mencari titik persefahaman.

“Saya juga mengambil maklum insiden kurang menyenangkan baru-baru ini antara Kemboja dan Thailand. Saya segera hubungi kedua-dua rakan sejawat untuk nyatakan keprihatinan Malaysia, selain memberi sokongan agar keamanan berkekalan dapat dicapai,” kata Anwar.

Kehadiran para Menteri Luar ASEAN dan rakan strategik lain pada mesyuarat kali ini dilihat sebagai bukti ASEAN terus relevan, bukan sahaja kepada rantau Asia Tenggara tetapi juga dunia.

BBerkaitan

Latest articles