AS Putuskan Hubungan Dengan WHO

Selepas menggantung pendanaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendakwa ia sebagai ‘boneka’ kepada China, Presiden Donald Trump pada semalam mengumumkan memutuskan hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan pertubuhan berkenaan.

Tindakan itu diambil kerana mendakwa WHO gagal mengambil langkah efektif untuk memerangi penularan wabak Covid-19 dari peringkat awal.

“Disebabkan mereka gagal melakukan pembaharuan yang diminta dan amat diperlukan, kita hari ini (semalam) akan memutuskan hubungan dengan WHO,” kata Trump kepada pemberita.

Trump turut memberitahu bahawa AS akan mengalihkan dana yang diperuntukkan kepada WHO itu ‘bagi keperluan mendesak kesihatan awam global yang lain di seluruh dunia’.

“Dunia memerlukan penjelasan daripada China mengenai virus itu. Kita mesti mempunyai ketelusan,” katanya.

Menjawab tuduhan AS, China dengan tegas menafikan bahawa negara itu selindung ancaman virus berkenaan ketika ia tercetus di Wuhan, akhir tahun lalu.

Sebaliknya, China mendakwa Washington cuba melepaskan tanggungjawabnya kepada WHO dan mengalihkan kesalahan terhadap pihak lain atas kelemahan tindak balas AS sendiri dalam menangani wabak itu.

AS adalah penyumbang dana terbesar kepada WHO dengan menyalurkan peruntukan sekurang-kurang AS$400 juta, tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles