AS Puji Anwar Berjaya Pimpin Usaha Damai Kemboja–Thailand

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memudahcara penganjuran Mesyuarat Komiti Sempadan Umum di ibu negara yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah penyelesaian konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio, Washington menyambut baik mesyuarat khas yang berlangsung pada 28 Julai di Kuala Lumpur, serta menggesa kedua-dua negara jiran itu agar terus menunaikan komitmen terhadap keamanan berkekalan.

“Kami mengalu-alukan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memudahcara proses ini,” menurut kenyataan itu.

Amerika Syarikat turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana menjadi tuan rumah bersama kepada pertemuan penting tersebut, yang dianggap sebagai inisiatif diplomatik utama dalam menangani ketegangan serantau secara aman dan teratur.

Mesyuarat Komiti Sempadan Umum itu dilihat sebagai platform awal untuk memulihkan kepercayaan serta membentuk asas perbincangan yang konstruktif antara Kemboja dan Thailand, susulan ketegangan yang berpanjangan melibatkan kawasan sempadan dan isu keselamatan bilateral.

Penganjuran mesyuarat ini sekaligus menonjolkan peranan aktif Malaysia sebagai pemudahcara keamanan di peringkat serantau, selari dengan dasar luar kerajaan Madani yang menekankan pendekatan diplomasi berprinsip, aman dan inklusif.

Malaysia sebelum ini pernah memainkan peranan serupa dalam membantu rundingan damai di selatan Thailand dan proses damai di Filipina Selatan.

Kejayaan menganjurkan mesyuarat ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Malaysia mengukuhkan kestabilan di Asia Tenggara, serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan dialog strategik kepada kuasa-kuasa besar dunia.

BBerkaitan

Latest articles