KUALA LUMPUR: Azwan Ali membuat keputusan menarik diri aebagai calon di Parlimen Gombak, selepas mendakwa mendengar bisikan dari arwah ibunya, Mak Tom supaya tidak bertanding.
Perkara itu diumumkan selebriti berkenaan ketika ditemui di pusat penamaan calon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, pagi tadi.
Azwan yang juga dikenali sebagai Diva AA turut menolak tanggapan beliau sengaja membuat gimik apabila mengumumkan hendak menjadi calon Bebas untuk melawan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak.
“Pagi ini selepas subuh saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada Allahyarham emak saya, Mak Tom. Ini bukan perkara main-main mahupun gimik.
“Saya percaya ada hikmah yang Allah tunjuk supaya saya tidak bertanding. Arwah Mak Tom selalu datang dalam mimpi saya dan menasihatkan saya jangan bertanding. Tak kisahlah anda kata merepek, tapi saya dengar suara emak saya.
“Saya minta maaf sebab terlalu ramai penyokong yang inginkan saya bertanding. Jadi maafkan saya, hajat anda tidak kesampaian. Saya juga minta maaf kerana mungkin keputusan saya ini memgejutkan semua,” katanya memetik laporan BH.
Azwan turut mendedahkan beliau menerima panggilan daripada isteri abangnya, iaitu Datin Seri Shamshida Taharin, malam tadi.
Dan panggilan itu juga antara faktor dia memutuskan untuk menarik diri.
“Kami bercakap panjang lebar malam tadi, tapi panggilan itu bukanlah untuk memujuk saya untuk tak bertanding. Jangan salah faham. Kami bercakap mengenai topik lain.
“Jujurnya saya sangat menghargai jasanya dan saya sangat terharu apabila beliau berkata Azmin selalu bertanya pasal saya. Itu antara faktor di sebalik keputusan saya menarik diri. Saya juga gembira dapat bercakap dengan beliau selepas enam tahun kami terpisah.
“Beliau akui beliau tak hubungi saya sebab ingatkan saya yang tak mahu menghubunginya. Tapi sebenarnya kami sangat rapat,” katanya.
Sementara itu, Azwan turut menyatakan sokongannya kepada calon Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
“Saya menyokong penuh PH, tapi jangan tanya kenapa. Tapi apa pun kesalahan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maafkan dan biarkan dia teruskan perjuangannya bersama pasukannya yang berkredibiliti terutamanya Datuk Seri Amirudin Shari yang cemerlang membangunkan Selangor.
“Kita semua mengharapkan yang terbaik dari mereka. Kepada pengundi semua, jangan sebarangan memangkah, fikir dua kali sebelum berbuat demikian. Dan percaya penduduk Gombak tidak bodoh. Jadi keluarlah mengundi pada 19 November ini,” katanya.