KUALA LUMPUR: Isu artifak sejarah negara yang kini berada dalam simpanan institusi luar negara sering dipermudahkan dengan sentimen bahawa khazanah tersebut telah ‘dicuri’ semasa era penjajahan dan wajar dibawa pulang sebagai hak milik mutlak.
Namun, pandangan itu tidak semestinya mencerminkan keseluruhan realiti sejarah.
Raja Zarith Sofiah, dalam titah baginda kepada Royal Press Office, menjelaskan bahawa walaupun terdapat artifak yang diperoleh melalui cara tidak wajar, sejarah sebelum kemerdekaan turut menyaksikan hubungan diplomatik dan pertukaran cenderamata antara kerajaan-kerajaan terdahulu dengan kuasa luar.
Perkongsian ini kemudiannya membentuk koleksi artifak yang kini menjadi warisan sejarah bersama.
Menurut baginda, sebarang usaha untuk menuntut atau membawa pulang artifak sejarah tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu melalui proses yang sah dan berlandaskan peruntukan undang-undang antarabangsa.
Baginda turut memperjelaskan bahawa manuskrip serta surat-menyurat Raja-Raja Melayu yang dipamerkan ketika lawatan Seri Paduka Baginda ke British Library adalah milik waris keluarga Sir Stamford Raffles, yang kemudiannya menyerahkan bahan tersebut kepada perpustakaan berkenaan untuk tujuan penyelidikan dan pemeliharaan.
Ini termasuk hikayat dan buku-buku lama, memandangkan pada zaman penjajahan British, setiap hasil cetakan di Tanah Melayu diwajibkan dihantar satu salinan untuk simpanan di London.
Baginda mengingatkan bahawa dokumen seperti surat rasmi merupakan bukti hubungan dua hala dan wajar disimpan sebagai rekod sejarah, bukannya dipertikaikan semata-mata atas soal pemilikan.
“Ia disimpan rapi dengan kawalan kelembapan yang teliti agar tidak rosak, malah telah didigitalkan dan dikongsikan secara dalam talian untuk manfaat penyelidik,” titah baginda seperti dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Tambah Raja Zarith Sofiah, tujuan utama lawatan ke British Library baru-baru ini adalah untuk menggalakkan penyelidikan mendalam mengenai ketamadunan Melayu supaya warisan tersebut dapat dijadikan teladan dalam merangka masa depan bangsa, berbanding hanya menumpukan kepada isu pemilikan fizikal artifak dan dokumen sejarah.










