Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustaqim Badrul Munir memberitahu bahawa sindiran yang ditujukan kepada bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menerusiakaun Facebook rasmi sayap parti itu dilakukan oleh bekas ahli yang masih memegang akses laman tersebut.
Asyraf menambah pihak mereka terpaksa membuat satu lagi laman Facebook baru bagi sayap itu selepas desakan terhadap individu untuk menyerahkan akses akaun itu kepada pasukan baru tidak dilayan.
“Terdahulu, saya telah membuat makluman bahawa Facebook rasmi Armada bukan lagi ‘Armada Bersatu PPBM’. Sekali lagi saya ingin tekankan ia adalah laman palsu.
“Mohon perhatian umum, laman Facebook rasmi kami adalah ‘Armada Bersatu Malaysia’. Laman rasmi ini tidak pernah digunakan untuk melakukan hal-hal seperti ‘troll’ atau mempersenda pesaing politik apatah lagi rakan koalisi melainkan sebagai medan penyaluran maklumat,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Asyraf memaklumkan bahawa mereka telah membuat laporan terhadap laman itu kepada Facebook dan meminta ahli-ahli parti yang lain untuk membuat laporan yang sama.
Terdahulu akaun Facebook Armada yang didakwa dikawal oleh pasukan yang lama menyindir Najib sebagai ‘penyamun’ selepas bekas perdana menteri itu memberi nasihat kepada Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar tidak bertelagah di laman sosial.
Ia susulan perkembangan politik semasa selepas kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.