Arab Saudi Yakin Ramai Pelancong Malaysia Manfaatkan Program eVisa 96 Jam

KUALA LUMPUR: Insiatif kerajaan Arab Saudi memperkenalkan Program eVisa dan Visa Persinggahan 96 jam percuma dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong Malaysia ke negara berkenaan.

Presiden Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi (STA) bagi Pasaran Asia Pasifik (Apac), Alhasan Aldabbagh berkata program itu bukan saja membolehkan umat Islam khususnya rakyat Malaysia untuk melakukan ibadat umrah, bahkan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka kepelbagaian budaya negara terbabit.

Alhasan memaklumkan, sehingga kini Program eVisa dan Visa Persinggahan 96 jam percuma itu merangkumi 66 negara termasuk Malaysia.

“Rakyat Malaysia boleh memanfaatkan Visa Persinggahan 96 jam percuma atau memilih eVisa yang diluluskan bagi mereka yang dalam perjalanan untuk bekerja atau beribadah.

“Yang mana visa terbabit adalah sah sehingga 90 hari untuk umrah dan boleh memilih untuk melanjutkan berada di sana bagi menziarahi destinasi lain seperti Jeddah, Riyadh atau AlUla,” katanya kepada media di majlis pelancaran Pameran Pelancongan Saudi diterajui oleh STA.

Dalam pada itu, Alhasan berkata pengembara Malaysia kini boleh memohon visa umrah melalui aplikasi Nusuk yang tersedia dalam bahasa Melayu.

Visa singgah 96 jam yang dilancarkan secara percuma pertama kali pada awal tahun lalu turut bekerjasama dengan Sudia, pengangkut nasionalnya.

“Kami juga menyederhanakan skim visa bagi pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) atau Schengen yang layak untuk e-visa atau visa semasa ketibaan.

“Dari segi sambungan terdapat empat pengendali (Saudia, Air Asia, Malaysia Airlines dan Batik Air) yang terbang ke empat bandar di Arab Saudi (Jeddah, Riyadh, Dammam dan Madinah),” katanya.

Pameran itu berlangsung selama lima hari di IOI City Mall Putrajaya bermula dari 28 Ogos hingga 1 September depan.

Pengunjung pameran juga berpeluang
mendapatkan tawaran eksklusif seperti beli satu tiket Arab Saudi dan mendapatkan potongan 50 peratus untuk tiket kedua, menikmati pelbagai pertunjukan menarik, serta banyak hadiah hebat yang ditawarkan kepada pengunjung.

Sementara itu, Alhasan berkata, pihaknya mengalu-alukan semua rakyat Malaysia untuk mengembara ke negara itu kerana Arab Saudi adalah destinasi autentik dengan warisan budaya yang mendalam, dan semangat keramahan sejati.

Beliau berkata banyak destinasi menarik boleh diterokai.

“Antaranya Al Balad di Jeddah, tapak Warisan Dunia Unesco yang kaya dengan kehidupan tradisional Saudi dan seni bina unik yang berusia lebih 1,000 tahun, Al Alawi dan Souk Al Baghdadiyah serta pelbagai lagi.

“Pasaran Malaysia penting kepada pelancongan Arab Saudi di mana Malaysia menduduki tangga ke-20 di dunia dengan populasi Muslim,” katanya.

Tambahnya, Malaysia turut mempunyai tempat istimewa di hati Arab Saudi dan negara yang dihormati kerana budaya dan tradisi negara ini.

Beliau berkata pada 2023, Arab Saudi muncul sebagai salah satu destinasi jarak jauh utama bagi pengembara Malaysia, menyumbang 23 peratus daripada perjalanan jarak jauh.

“Kami melihat peningkatan sebanyak 15 peratus dalam bilangan pengembara Malaysia tahun lalu berbanding 2022.

“Tahun ini, dari segi perjalanan rekreasi, Malaysia adalah pasaran sumber ke-empat terbesar untuk Apac dan pasaran sumber ke-15 global untuk Arab Saudi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles