SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mendoakan kepimpinan negeri terus kukuh sambil menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah untuk menjalankan amanah demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
“Apa jua pandangan Undang Yang Empat adalah hak mereka.
“Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh YTM Undang Yang Empat, semalam.
Pada masa sama, Ismail turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi bersama barisan Kerajaan Negeri kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Pendirian itu ditegaskan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan masyarakat di Negeri Sembilan terus terpelihara bawah naungan institusi diraja.
Semalam, Undang Yang Empat mengeluarkan kenyataan media memaklumkan bahawa Ismail telah menandatangani Surat Cara Proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Penandatanganan yang diadakan di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lepas itu dimaklumkan bagi memenuhi kewajipan perlembagaan beliau selaku Menteri Besar untuk menguatkuasakan proklamasi pemecatan berkenaan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa penandatanganan berkenaan disempurnakan di hadapan Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah menurut UUTKNS, Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar, serta Pembesar Memerintah Negeri Sembilan.










