Apa Jua Keputusan PRN Johor, Perlu Segerakan PRU15 Untuk Stabilkan Kerajaan Pusat

BATU PAHAT: Gesaan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah perlu supaya kedudukan kerajaan pusat dapat distabilkan, demikian menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Respon itu menyusul sebagai menyokong kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa PRU15 perlu disegerakan tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor, sama ada memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya.

Mohd Puad berkata, walaupun kerajaan masa ini diketuai oleh pemimpin UMNO namun kedudukannya masih belum selamat, malah beliau berpandangan adalah lebih baik mandat diserahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka ingin pilih.

“Saya lebih cenderung menyokong pendirian timbalan presiden parti (Mohamad Hasan) sebab politik sekarang tidak stabil.

“Walaupun Umno adalah pemegang jawatan perdana menteri, tetapi apa-apa pun boleh berlaku. Bagi kita Umno sepatutnya menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang lebih stabil,” katanya memetik FMT.

Sebelum ini Mohamad berkata, PRU15 perlu disegerakan tanpa mengira keputusan PRN Johor kerana pentadbiran semasa di Putrajaya tidak dipilih oleh rakyat, manakala ketidakstabilan politik di negara ini menjejaskan rakyat dan ekonomi.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd Puad menafikan beliau bersikap ‘memilih’ dalam menyokong sekumpulan pemimpin UMNO yang dilabel sebagai “kluster mahkamah”.

“Kami mendokong dasar-dasar perjuangan yang murni. Bukan kerana taasub kepada individu atau kelebihan material yang mereka ada.

“Selagi mereka mendukung perjuangan yang murni seperti yang saya perjuangkan, itu yang ikat kami menjadi kawan yang kekal,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles