KUALA LUMPUR: Kerajaan percaya masih terdapat sejumlah besar dana milik negara yang hilang akibat ketirisan dan penyelewengan berpotensi dikembalikan, melebihi RM15.5 bilion yang berjaya dikutip sepanjang dua tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu didorong oleh komitmen berterusan dan tahap integriti penjawat awam, khususnya agensi penguat kuasa yang terlibat secara langsung dalam usaha mengekang ketirisan kewangan negara.
Menurut beliau, cabaran dalam penguatkuasaan masih besar dan memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Pesaingan Malaysia.
“Melalui kerjasama dan kesungguhan semua pihak, kita berjaya mencatat prestasi memberangsangkan apabila dana yang dirompak, diseleweng dan ditipu berjaya dikutip semula, dengan jumlah tambahan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
“Itu adalah hak rakyat yang telah dirampas akibat kelemahan sistem, sehingga membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan dan menyebabkan negara kehilangan dana,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan jumlah tersebut masih belum mencukupi dan kerajaan tidak berhasrat untuk berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
“Jika ditanya sama ada RM15.5 bilion ini memadai, jawapannya tidak. Kita menerima cabaran ini dan yakin masih banyak dana yang hilang, tiris dan dicuri boleh dikutip semula demi menyelamatkan kepentingan bangsa dan negara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026, di sini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan warga JKDM agar tidak leka dengan kejayaan dicapai, sebaliknya terus memperkukuh kecekapan, meningkatkan prestasi serta menjadikan integriti sebagai tunjang utama perkhidmatan.
Beliau berkata, meskipun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif termasuk pengukuhan nilai ringgit, pencapaian itu masih belum mencukupi untuk mengangkat kedudukan Malaysia ke tahap lebih tinggi di peringkat global.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan perubahan sikap, kesediaan menerima realiti baharu dan komitmen untuk meningkatkan mutu kerja adalah elemen penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.










