Anwar: Wartawan Era AI Perlu Berpegang Etika, Nilai Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa dalam mengejar kemajuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), dunia kewartawanan tidak boleh terpisah daripada prinsip kebenaran, keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau berkata, pendekatan yang “menggapai langit tetapi tetap mengakar ke bumi” harus menjadi asas kepada amalan media yang beretika dan inklusif dalam mendepani cabaran teknologi masa depan.

“Fokus kita adalah untuk menggapai langit industri baharu, teknologi baharu, cabaran baharu seperti AI dan transisi tenaga tetapi dalam masa yang sama, kita mesti berpijak di bumi dengan nilai moral dan kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Majlis berprestij yang bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ itu menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, khususnya rantau ASEAN.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulas soal kebebasan media, dengan menegaskan bahawa tiada negara di dunia yang memberikan kebebasan mutlak kepada media, termasuk dirinya sebagai ketua kerajaan.

“Kebebasan itu perlu berpandukan Perlembagaan, nilai kesopanan dan sistem beraja yang menjadi tonggak negara. Saya sendiri, sebagai Perdana Menteri, tidak menikmati kebebasan mutlak,” ujarnya.

Beliau menolak persepsi bahawa sebarang teguran terhadap institusi raja atau pihak berkuasa merupakan satu bentuk serangan, sebaliknya menegaskan pentingnya teguran dibuat dengan hikmah dan adab, bukan cercaan atau kebencian.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru wartawan agar menjadi pemegang amanah maklumat yang bertanggungjawab dalam menyampaikan kebenaran, terutama di era digital yang dipenuhi maklumat palsu, manipulasi AI dan kebisingan politik.

“Peranan media lebih penting hari ini berbanding sebelumnya. Ketika teknologi AI mampu mencipta realiti palsu, wartawan mesti kekal sebagai penjaga kebenaran dan suara rakyat,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Majlis tersebut juga menyaksikan sesi pertukaran pandangan antara wartawan tempatan dan antarabangsa mengenai masa depan industri media dalam menghadapi kebangkitan teknologi baharu seperti AI generatif, deepfake dan algoritma penapisan maklumat.

BBerkaitan

Latest articles