Anwar Tunggu Penjelasan SU Agung PKR Berkenaan Bantahan UMNO

PUTRAJAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha Agung parti, Datuk Fuziah Salleh berhubung nota bantahan UMNO terhadap kemasukan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR.

Anwar berkata, isu tersebut perlu dirujuk kepada kepimpinan parti terlebih dahulu sebelum sebarang ulasan lanjut dibuat.

“Itu surat lama. Saya kena semak dengan Setiausaha Agung (Fuziah Salleh),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di Kompleks Kementerian Kewangan, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, media melaporkan UMNO akan menghantar nota bantahan rasmi kepada parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan sebagai tanda protes terhadap tindakan membenarkan ahlinya menyertai parti lain.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan, semua parti komponen perlu menghormati konvensyen yang dipersetujui bersama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula menjelaskan, pendirian itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 13 Ogos lalu kerana bimbang tindakan berkenaan boleh menjejaskan hubungan antara parti gabungan.

Isu itu timbul selepas Tengku Zafrul mengesahkan permohonannya untuk menyertai PKR telah diterima.

Beliau yang keluar daripada UMNO pada 30 Mei lalu kini sah sebagai ahli PKR Cabang Ampang.

BBerkaitan

Latest articles