KUALA LUMPUR: Laporan siasatan pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuktikan sama ada bekas Perdana Menteri itu terlibat atau sebaliknya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjawab dakwaan Muhyiddin kononnya siasatan itu berniat jahat yang direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.
“Jahat tidak jahat, kita tunggu laporan. Saya tidak fikir hal ini dihebahkan tanpa ada kebenarannya,” ujarnya.
Anwar, dalam pada itu berkata beliau tidak pasti sejauh mana pembabitan bekas Perdana Menteri dalam isu tersebut namun siasatan sedang dijalankan ketika ini.
“Sejauh mana dia (Muhyiddin) terlibat dalam perkara ini, saya tidak tahu. Tunggu siasatan yang dilakukan.
“Tujuan kita, hendak hentikan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan ini, jangan anggap ini tempat untuk kayakan anak menantu dia. Ini pengajaran,” katanya media selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Sebelum inj Muhyiddin turut mendakwa siasatan itu sebahagian siri tohmahan jahat dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan -Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?.
“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” tegasnya.