Anwar Tunai Janji, Kemuka Bukti Dokumen Hapus Hutang Peneroka

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya untuk mengemukakan sebahagian dokumen yang ditandatanganinya bagi penghapusan hutang peneroka FELDA sebanyak RM990 juta.

Perdana Menteri berbuat demikian sebelum jam 12 tengah hari tadi sebagai menyahut cabaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan ringkas kepada media, beliau turut mendesak Muhyiddin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Untuk rekod, Anwar pada semalam memberitahu akan mengemukakan dokumen itu selepas menghubungi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bagi menyerahkan bukti tersebut sebelum berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Ia selepas Muhyiddin menuntut Anwar selaku Menteri Kewangan mengemukakan bukti telah menandatangani surat atau dokumen bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Anwar sebelum itu mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Kementerian Kewangan mengesahkan perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh Anwar pada 26 Jun 2023.

“Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.

“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan agensi berkenaan antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan FELDA berikutan penghapusan hutang peneroka.

BBerkaitan

Latest articles