Anwar – Trump Bincang Konflik Terkini Kemboja-Thailand

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand yang kembali memuncak kebelakangan ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan perbincangan itu berlangsung menerusi panggilan telefon yang turut menyentuh hubungan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat serta beberapa isu global berkepentingan bersama.

Menurut beliau, Malaysia memainkan peranan aktif menggesa kedua-dua negara terlibat supaya bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan Asean.

“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam serta memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik Asean,” katanya.

Sebagai Pengerusi Asean, Anwar berkata Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Asean dalam masa terdekat bagi menilai situasi semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap keterlibatan aktif Amerika Syarikat dalam Asean serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.

Konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand yang berlarutan sejak lebih satu abad kembali memuncak pada Julai lalu, mencetuskan pertempuran selama lima hari sebelum kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur kemudiannya dimeterai pada 26 Oktober sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi Asean serta Trump.

Namun, pertempuran terbaharu dilaporkan tercetus semula, mengakibatkan beberapa kematian dan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles