Anwar Terus Gesa Masyarakat Faham Modul Hadis 40 Imam Nawawi Hanya Untuk Pelajar Islam

KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini, khasnya mereka yang bukan Islam diminta untuk memahami bahawa pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk pelajar Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sesetengah pihak tidak seharusnya marah kerana ia hanya termaktub kepada murid beragama Islam dan tidak ada paksaan kepada bukan Islam mempelajarinya.

“Jangan paksa (bukan Islam) sebab saya minta anak-anak Islam belajar 40 hadis, jangan paksa bukan Islam.

“Mata pelajaran ini untuk anak-anak Islam dalam pengajaran Pendidikan Islam. Tanyalah dulu. Jangan marah dahulu. Saya harap mesej ini difahami,” katanya ketika berucap di program Lestari Niaga@Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambantan hari ini.

Anwar sebelum ini berkata, segelintir bukan Islam di negara ini tidak perlu fobia setiap kali mendengar perkara mengenai Islam malah ia akan dilaksanakan kepada murid muslim di sekolah agama dan sekolah bantuan kerajaan.

Malah kata Anwar, sebagai pemimpin adalah tanggungjawab beliau bagi memastikan pemahaman yang betul terhadap Islam.

“Ini penting untuk mereka berhujah dengan dakyah sertai parti itu masuk Islam dan tidak sertai masuk neraka. Kita kena didik orang Melayu bahawa ini adalah salah. Ini sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menggalakkan pelajar Islam untuk lebih memahami Islam “ katanya lagi.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Kontroversi tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

Bagaimanapun bantahan itu kemudiannya reda selepas KPM menjelaskan modul itu akan hanya diajar kepada murid-murid Islam.

BBerkaitan

Latest articles