Anwar Terpaksa Sambut Ulang Tahun Pentadbiran Kerajaan Perpaduan Dengan Kekalahan Di Kemaman

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menghadiahkan kemenangan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, semalam, sempena ulang tahun pertama kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kemenangan besar itu membuktikan sokongan padu pengundi Melayu yang menandakan secara jelas lagi bersuluh bahawa PN adalah wadah utama politik mereka.

“Kepada sahabat saya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, selamat datang ke Parlimen.

“Majoriti 37,220 undi yang diterima Dr Sam yang menyaksikan lonjakan lebih 10,000 undi juga merupakan bukti jelas bahawa rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.

“Keputusan PRK Kemaman ini merupakan suatu tamparan hebat kepada Anwar dan ia adalah hadiah ulang tahun pertama kegagalan pentadbiran PMX,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Hamzah lagi, kemerosotan undi sehingga 10,757 undi yang diterima UMNO pada PRK ini berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, membuktikan berlakunya peralihan sokongan besar-besaran pengundi parti itu kepada PN.

“Tentunya hal ini (kekalahan BN) ada kaitannya dengan kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman yang berlangsung semalam menyaksikan, PAS berjaya mengekalkan mandat apabila calonnya, Ahmad Samsuri mendahului dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada 249 keseluruhan peti undi pilihan raya itu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya daripada calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 25,023 undi.

BBerkaitan

Latest articles