Anwar Terima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global, Tekad Perkukuh Peranan Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia komited memperkukuh kewangan Islam sebagai teras pembangunan mampan dan wadah melahirkan generasi beretika, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, pemimpin dan penggerak industri harus berpegang pada prinsip etika demi merealisasikan visi ekonomi masa depan yang lebih adil dan inklusif.

“Sokongan dan dorongan berterusan daripada rakan kongsi global membuktikan kewangan Islam berkembang kukuh apabila ia berasaskan kerjasama serta saling menghormati. Hari ini, institusi kewangan menjadi sebahagian daripada rangka kerja maqasid syariah yang menekankan belas kasihan, keterangkuman dan keadilan sosial,” katanya.

Anwar berucap demikian ketika menghadiri Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2025 di ibu negara, di mana beliau turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global yang disampaikan oleh Pengerusi Cambridge Institute of Islamic Finance, Humayon Dar.

GIFA yang dianggap antara anugerah kewangan Islam paling berprestij di dunia, sebelum ini pernah mengiktiraf tokoh terkemuka termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Mengulas pengiktirafan yang diterima, Anwar menegaskan anugerah tersebut bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak yang selama ini memperkukuh institusi kewangan Islam di Malaysia.

“Saya hanya menjadi wakil untuk menerima penghargaan ini. Hakikatnya ia adalah hasil kerja keras akademia, ahli pemikir, aktivis dan pemain industri dalam membina sistem kewangan Islam yang lebih mampan,” jelasnya.

Menurut beliau, pengiktirafan itu juga menjadi cabaran baharu untuk mengangkat sistem kewangan Islam agar terus seiring dengan maqasid syariah, khususnya dalam menjamin keadilan, kesamarataan serta memberi harapan baharu kepada masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles