Anwar Tempelak Takiyuddin berkaitan perjanjian sempadan

PARLIMEN : Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang didakwanya semberono dalam membuat kenyataan berhubung perjanjian penyelesaian sempadan yang dimeterai Malaysia dan Indonesia.

Perdana Menteri berkata, sebagai seorang peguam, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya memberikan hujah yang bersifat samar dengan kononnya memetik kenyataan pihak didakwa sebagai pakar tenpa menyebut secara spesifik siapa pakar yang dimaksudkan itu.

“Ramai berpandangan, pakar maritim…siapa yang berpandangan dan pakar mana yang membicarakan? (Takiyuddin kata) telah melanggar (peraturan)… yang mana, peraturan yang mana?

“Dia (Takiyuddin) peguam, kalau bincang samar-samar begini tak payah peguam, ketua kampung pun boleh…peguam harus spesifik,” katanya sebelum disahut tepukan dan sorakan ahli Dewan.

Terdahulu, Takiyuddin ketika mengajukan soalan tambahan pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri berkata ramai berpandangan langkah diambil kerajaan yang menandatangani perjanjian dengan Jakarta berkaitan pertikaian maritim bukan satu langkah proaktif, sebaliknya lebih kepada langkah kompromi dan tidak berhati-hati yang boleh merugikan negara dan menyentuh isu kedaulatan negara.

Takiyuddin juga mendakwa tindakan itu membelakangkan pandangan pakar maritim negara yang selama ini tekun membantu kerajaan dalam melindungi hak wilayah maritim, yang mana mereka ini memberikan pandangan agar kerajaan tidak berkompromi dengan tuntutan Jakarta di kawasan laut Sulawesi dan paling selatan di Selatan Melaka.

Dalam pada itu, Anwar ketika menjawab perkara itu menegaskan perjanjian persempadanan maritim dimeterai dengan Indonesia sudah pun mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Perjanjian itu dimeterai selepas dirujuk pakar maritim, Jabatan Maritim, Kementerian Luar, Pejabat Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Ukur dan Pemetaan dan Pusat Hidrografi Nasional Malaysia,

“Menteri Luar dan Kementerian Luar yang banyak menjalankan tugas dalam hal ini dan sebelum kita meterai (perjanjian) saya masih berhadapan dengan pakar-pakar ini.

“Kalau ada nama pakar yang Kota Bharu (Takiyuddin) nak sebut sila nyatakan, jangan pakai semberono saja,” katanya.

Menjawab soalan Takiyuddin sama ada pihak berkepentingan dirujuk sebelum perjanjian itu dipersetujui, Perdana Menteri memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sudah dimaklumkan bahawa pemeteraian perjanjian Malaysia dengan Indonesia pada 8 Jun lalu membabitkan kawasan tiga batu nautika dan tidak membabitkan perbatasan dan sempadan negeri itu.

Beliau berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga dimaklumkan mengenai rundingan bagi memuktamadkan Pulau Sebatik dan kawasan di Tawau ditangguhkan sehingga ada persetujuan baharu.

Berhubung soalan Takiyuddin sama ada perjanjian Malaysia-Indonesia itu mengambil kira mengambil kira perjanjian sempadan ditandatangani Singapura dan Indonesia pada 2009, Anwar memaklumkan kerajaan membantah perjanjian itu yang membabitkan kawasan yang turut dituntut Malaysia.

Perdana Menteri, perkara itu dimaklumkan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan tidak dimasukkan dalam perjanjian yang dipersetujui kedua-dua negara yang ditandatangani 8 Jun lalu.

Katanya, Perjanjian Singapura dan Indonesia itu ditandatangani pada 2009 yang mana pada masa itu Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masa itu berada dalam kerajaan.

“Apa yang kita lakukan sehingga kini, perjanjian itu sudah kita bantah…kerajaan Malaysia dan saya maklumkan kepada Presiden Jokowi mengenai perkara ini dan kita tidak boleh terima perjanjian itu kerana menjejaskan kepentingan Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles