PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan mahkamah sejak lebih dua tahun setengah menerajui pentadbiran negara, termasuk dalam soal pelantikan institusi kehakiman yang menurutnya berjalan mengikut Perlembagaan.
“Seperti yang saya sebut, lebih dua setengah tahun saya tidak pernah campur urusan dan keputusan mahkamah. Itu saya anggap penting.
“Soal proses pelantikan (institusi kehakiman) pula memang sudah ditentukan dalam Perlembagaan dan bidang kuasa pihak masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, hari ini.
Mengulas mengenai hasrat Badan Peguam Malaysia untuk mengadakan Perhimpunan dan Perarakan Aman bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) Isnin ini bagi mempertahankan kebebasan kehakiman, Anwar berkata beliau menghormati keputusan itu.
“Itu keputusan mereka,” ujarnya ringkas.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan bahawa isu kebebasan kehakiman yang dibangkitkan sudah diperjelaskan oleh beberapa pihak termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Yang di-Pertuan Agong sendiri.
“Jadi kita ikutlah proses dan peruntukan yang sedia ada. Kalau rasa nak pinda (proses pelantikan kehakiman), cadangkan pindaan itu kepada kerajaan. Kita ikut proses sedia ada yang diamalkan selama ini,” katanya.
Perhimpunan anjuran Badan Peguam Malaysia ini dilaporkan bertujuan menyerahkan memorandum yang mengandungi tuntutan supaya langkah segera diambil mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Sebelum ini, Badan Peguam pernah mengadakan Walk for Judicial Independence pada 2022 bagi membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu mengumumkan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nazlan Ghazali.
Tindakan itu dianggap campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman dan melanggar prinsip pengasingan kuasa.